Thursday, March 19, 2009

19 hadith tentang wanita

19 Hadis Nabi Mengenai Wanita.


1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada
lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah akanhal tersebut, jawab baginda, "Ibu lebih penyayang
daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".

2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya.Allah mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

3. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.

4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah.

7. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah dan orang yang takutkan Allah, akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia
memerdekakan anak Nabi Ismail.

9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

10. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

11. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.

12. Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah, "Suaminya". "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah,
"Ibunya".

13. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut,burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.

15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

16. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

17. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.

18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka
baginya syurga.

19. Daripada Aisyah r.a. Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

**DALIL HADIS NI TIDAK DIPEROLEHI** just copy je daripada kawan yg menghantar..

Harap maaf di atas segala kesulitan...

Tuesday, March 17, 2009

AL-FATIHAH ayat 1-7

1.Dengan nama Allah yang Maha Pengasih,Penyayang

2.Segala pujian bagi Allah (yg mendidik ) semesta alam.

3.Yang Maha Pengasih, Penyayang

4.Lagi mempunyai (penguasa) hari pembalasan

5.Hanya Engkau(Ya Allah) yang kamu sembah dan hanya pada Engkaula kami minta pertolongan.

6.Tunjukkanla (hati)kami kejalan yang lurus.

7.Yaitu jalan org2 yg Engkau berikan nikmat kepada mereka,sedang mereka itu bukan org2 yg dimurkai dan bukan pula org2 yg sesat.

Saturday, March 14, 2009

solat sunat hajat berjema'ah

HANYA UNTUK RENUNGAN

Pensyariatan Solat Hajat

Dalil pertama:

Di dalam kebanyakan kitab-kitab Fekah Mazhab, ulamak-ulamak dalam mazhab berhujah dengan hadis Riwayat Adullah bin Abi Aufa Radhiallahu 'anh, hadis dikeluarkan oleh Ibnu Majah: Nas hadis seperti berikut:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى الْأَسْلَمِيِّ قَالَ: خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ

مَنْ كَانَتْ لَهُ حَاجَةٌ إِلَى اللَّهِ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ خَلْقِهِ فَلْيَتَوَضَّأْ وَلْيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ لِيَقُلْ

لا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ أَسْأَلُكَ أَلَّا تَدَعَ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ

وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ وَلَا حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلَّا قَضَيْتَهَا لِي

ثُمَّ يَسْأَلُ اللَّهَ مِنْ أَمْرِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ مَا شَاءَ فَإِنَّهُ يُقَدَّرُ

Dari Abdillah bin Aufa Al-aslamiy katanya: Rasulullah Sallallahu Alaihi wasallam keluar (menemui kami) dan berkata:

“Sesiapa yang ada sebarang hajat kepada Allah atau kepada seseorang di kalangan makhluk–Nya (manusia) maka hendaklah dia berwudhu'

dan solat dua rakaat kemudian dia berkata (berdoa):

Tiada Ilah melainkan Allah yang bersifat Al-Halim dan Al-Karim, maha suci Allah Tuhan yang memiliki Arasy yang agung,

Segala puji bagi Allah Rabb seluruh alam, Ya Allah! Aku memohon kepada engkau wajiblah ku mendapat rahmat-Mu,

kemestian memperolehi keampunan-Mu, kaya dengan segala kebajikan, selamat sejahtera dari sebarang dosa,

aku memohon kepada-Mu agar tidak engkau biarkan bagiku sebarang dosa melainkan diampunkan,

tiada kedukaan melainkan dilepaskannya (dariku), tiada sebarang hajat demi redha-Mu melainkan engkau tunaikannya bagiku",

kemudian mintalah kepada Allah dari sebarang urusan dunia dan akhirat apa yang dia kehendaki, maka sesungguhnya Dia (Allah) yang menentukan.

Status hadis dinilai oleh As-Syaikh Nasiruddin Al-Albani di dalam Misykatu Al-Masabih sebagai Hadis maudhuk (palsu) no.hadis 1327, Di dalam Dhaif Sunan Ibnu Majah beliau menilai sebagai Dhaif Jiddan (sangat lemah) no.hadis 1384. Hadis juga dikeluarkan oleh Imam Tirmizi(397H) dan beliau menilainya sebagai lemah, kerana pada sanadnya seorang yang bernama Faid bin Abdul Rahman (seorang yang dhaif, nama asalnya Abu Al-Warqa')[2]. Hadis yang sama dikeluarkan juga oleh Al-Hakim didalam Al-Mustadrak Ala As-Sahihain [3].

Seandainya hadis ini memiliki status sahih sekali pun ia tidak mempunyai sebarang qarinah (petunjuk) yang memberi isyarat bahawa solat sunat hajat ditunaikan secara berjemaah. Al-Imam An-Nawawi (676H) telah menyebut dalam Kitab Al-Majmuk Syarh Al-Muhazzab:

Satu fasal: Masalah-masalah berkaitan dengan bab solat sunat ….(Ada sepuluh perkara yang disebut…) yang keenam: tentang solat hajat daripada Ibn Abi Aufa. [4]

Perkara seumpama ini dinyatakan di dalam kitab Asna Al-Matalib,[5] dan di dalam kitab Syarah Muntaha Al-Iradat[6].

Dalil kedua:

عن عثمان بن حنيف رضي الله عنه : أن أعمى أتى إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال

يا رسول الله ادع الله أن يكشف لي عن بصري قال أو أدعك قال يا رسول الله إنه قد شق علي ذهاب بصري

قال فانطلق فتوضأ ثم صل ركعتين ثم قل

اللهم إني أسألك وأتوجه إليك بنبيي محمد صلى الله عليه وسلم نبي الرحمة

يا محمد إني أتوجه إلى ربي بك أن يكشف لي عن بصري

اللهم شفعه في وشفعني في نفسي فرجع وقد كشف الله عن بصره.

رواه الترمذي وقال حديث حسن صحيح غريب

Dari Uthman bin Hunaif Radhiallahu 'anh: Bahawa seorang lelaki buta datang kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, maka dia berkata:

Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar Dia menyingkapkan kembali pandangan mataku,

Dan (Rasulullah) berkata: Atau aku biarkan engkau (terus dalam keadaan buta).

Lelaki buta berkata: Sesungguhnya telah menyukarkan aku akan kehilangan pandangan mataku ini.

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: Pergilah engkau berwudhuk, kemudian solatlah dua rakaat kemudian bacalah (berdoa):

“Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepada Engkau dan aku bertawajjuh (menghalakan) permintaanku kepada-Mu dengan nabiku nabi pembawa rahmat[7], Ya Muhammad sesungguhnya aku bertawajjub kepada Tuhanku dengan (keberkatan dirimu) agar Dia menyingkapkan mataku (mengembalikan penglihatanku)”.

Nabi berkata: “Ya Allah: Syafaat dia dengan sebab diriku, syafaatkan aku pada diriku. Dia (si buta) kembali (ke rumahnya) dalam keadaan matanya telah Allah jadikan pulih seperti biasa (dapat melihat semula).”[8]

Hadis ini dikeluarkan oleh Al-Imam An-Nasai di dalam Sunan Al-Kubra hadis no: 10496. Dimasukkan juga oleh Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak.[9] Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh Nasiruddin Al-Albani di dalam Sahih At-Targhib Wa Tarhib, hadis no: 678. Pengarang asal kitab berkenaan Al-Imam Al-Munziri (Al-Hafiz Zakiyyudin Al-Azim Al-Munziri Ad-Dimasyqi) meletakkan Hadis ini dibawah tajuk: “galakan pada menunaikan solat hajat dan doanya".

Matan hadis ini satu-satunya matan hadis sahih yang dapat dikesan dalam bab solat hajat. Cuma di dalam riwayat Imam Tirmizi pula tiada disebut “sembahyanglah dua rakaat”.

Kefahaman Dan Pengajaran (Istinbat) Dari Hadis Uthman Bin Hunaif Radhiallahu 'anh:

  • Diharuskan kita meminta pertolongan dari orang lain yang lebih baik darjat dan kedudukannya di sisi Allah Subhanahu Wataala untuk mendo'akan bagi pihak orang yang berhajat seperti mana dalam kisah si buta yang datang berjumpa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam memohon agar didoakan untuknya supaya dapat melihat kembali.

  • Orang yang dipohon pertolongan kepadanya pula berhak memilih samada untuk menolak atau pun menunaikan hajat orang yang berhajat. Berkaitan dengan kelebihan orang buta yang sabar dengan keadaan dirinya yang buta dinyatakan dalam hadis lain dalam Sahih Bukhari: hadis no: 5653 [10].

إِذَا ابْتَلَيْتُ عَبْدِي بِحَبِيبَتَيْهِ فَصَبَرَ عَوَّضْتُهُ مِنْهُمَا الْجَنَّةَ يُرِيدُ عَيْنَيْهِ

Apabila Aku menguji hamba-Ku dengan dua kekasihnya(dua biji matanya) maka dia bersabar,

Aku gantikan untuknya (dari dua matanya yang buta) dengan syurga.

  • Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam menyuruh orang buta yang “berhajat” itu sendiri yang melaksanakan permohonan hajatnya kepada Allah. Perhatikan maksud yang dipetik dari hadis berkenaan “Pergilah engkau berwudhuk, kemudian solatlah dua rakaat kemudian bacalah (berdoa). Ungkapan ”maka pergilah engkau” diterjemah dari sabda Nabi (فانطلق).

Ungkapan ini jelas membawa pengertian bahawa Nabi Sallallahu alaihi wasallam tidak mahu ”memanjakan” umatnya melakukan sesuatu dengan bergantung harap sepenuhnya kepada orang lain. Baginda lebih suka seseorang itu sendiri yang melakukannya, apatah lagi dalam urusan hajat yang berbentuk ”peribadi” seperti memohon orang lain tolong doakan untuk kita.

Ini bukanlah bermaksud, kita ditegah sama sekali memohon pertolongan dari orang lain untuk mendoakan bagi pihak kita. Cuma janganlah terlalu berlebih-lebihan dalam meminta dan hilang keyakinan untuk melakukan sendiri. Tiada menjadi kesalahan sekali-sekala kita meminta si fulan ini atau si fulan itu (yang dilihat sebagai sebagai orang yang alim yang warak lagi bertaqwa) mendoakan kebaikan bagi pihak kita.

Berdoalah kepada Allah dan tanamkan keyakinan di hati bahawa hajat kita akan diperkenankannya. Sehubungan dengan tajuk doa ini, Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالْإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لَاهٍ

Dari Abi Hurairah bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda: Berdoalah kepada Allah dan kamu yakin diperkenankan permintaanmu, dan ketahuilah Bahawa Allah tidak memperkenankan doa dari hati yang lalai dan leka.”[11]

  • Perhatikan dan renungkan keseluruhan maksud hadis ini. Lihatlah betapa besarnya hajat lelaki yang buta ini. Bayangkan juga betapa gembiranya hati beliau apabila matanya yang buta dapat celik semula. Namun, perasankah kita bahawa hadis ini tidak mengambarkan adanya sebarang qarinah (petunjuk atau isyarat) bahawa solat hajat yang ditunaikan oleh lelaki itu dilakukan secara berjamaah.

Tiada bukti bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam memanggil beberapa sahabat yang lain untuk ditunaikan solat hajat berjamaah di masjid atau pun di rumah. Seandainya hajat yang sebesar ini tidak dilakukan berjamaah, apakah alasan kita bahawa hajat sekecil ”dompet duit hilang”, atau ”si anak di rumah nak masuk periksa UPSR atau PMR atau lain-lain peperiksaan”, lalu kita merasakan seakan tidak sempurna permohonan hajat kita kepada Allah tanpa ada solat hajat berjemaah.

  • Hadis ini juga menunjukkan bahawa permohonan hajat boleh dilakukan dalam tiga bentuk:

  1. Berwudhuk dan berdoa (tanpa solat) sebagaimana dalam riwayat Imam A-Tirmizi.

  2. Berwudhuk, solat (sendirian) dan berdoa (sebaiknya berdoa pada waktu yang mustajab doa seperti doa selepas solat fardhu atau berdoa pada waktu akhir malam sebelum masuk waktu solat subuh dan sebagainya).

  3. Meminta bantuan dari pihak lain khususnya dari orang yang alim dan bertaqwa menunaikan solat dan berdoa bagi pihak kita. Tetapi bukanlah bermaksud dibuat berjemaah. Memadai si alim itu melakukannya sendirian di rumah. Cuma cara ini kurang digalakkan kerana Islam menggalakkan seseorang berusaha sendiri dan belajar ilmu tentang cara solat hajat dan bacaan doa.

Alasan yang biasa didengar ”kami minta tok imam tolong buat sembahyang hajat, sebab kami tak berapa pandai nak buat sendiri dan tak tahu doa dalam bahasa Arab”. Atau mungkin pelbagai lagi alasan lain yang dikemukakan. Soalnya sampai bila masyarakat hendak dibiarkan manja dengan bergantung harap kepada orang lain. Bukankah menuntut ilmu satu kefardhuan. Sabda Nabi Sallallahu alaihi wasallam dari riwayat Anas bin Malik:

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim"[12]

Mungkin apa yang berlaku dalam kes ”solat hajat berjemaah” adalah implikasi dari budaya taqlid yang sudah begitu lama berakar umbi dalam masyarakat hingga budaya beramal mengikut disiplin ilmu yang tepat dan sahih hampir lenyap dan pupus. Semuanya berpegang kepada kaedah ”pakai main tiru” dan ”ikut apa yang orang ramai buat". Budaya ”ikut apa yang orang ramai buat, kita pun buat sama” sudah lama membarah dalam masyarakat, hinggakan di kalangan ilmuan Islam (para ustaz, orang-orang alim dan tuan-tuan guru) turut sama terbabit dalam amalan yang bukan sebahagian dari budaya di zaman Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam, zaman sahabat mahu pun zaman tabiin.

Seandainya, dilontarkan pertanyaan kepada golongan yang belajar bidang agama tentang masalah solat hajat berjemaah, bukan semua mampu memberikan jawapan yang meyakinkan. paling tidak pun ada yang berkata ”buat apa nak bising, masalah inikan masalah khilafiyyah, nak buat berjemaah pun boleh, tak nak buat berjemaah pun boleh”.

Lebih mendukacitakan yang belajar sekolah agama pun jawab macam orang kampung yang tidak mengaji sekolah agama ”lihat tu, ramai orang alim turut sama buat, jadi tak betul ke kalu kita buat berjamaah". Ada juga yang kata ”Tidakkah kita digalakkan solat berjemaah kerana ianya lebih afdhal dari solat sendirian".

Jawapan-jawapan sebegini menggambarkan tahap mentaliti masyarakat Melayu yang berbeda-beda. Kalau beginilah cara berfikir golongan agamawan kita, maka tak peliklah masyarakat terus menerus dibelenggu budaya taqlid dan tiada langsung kesedaran hidup beragama berpandukan sumber ilmu yang tepat. Jauh sekali membentuk jiwa yang bermotivasi dalam bab menuntut ilmu.

Beginilah sikap orang kita dalam soal kehidupan beragama yang sepatutnya dikaji semula. Kita suka ambil sikap mudah dan buat ala kadar. Pada hal dalam urusan keduniaan kita begitu prihatin. Contoh: sekiranya kita menerima bil telefon yang tinggi dari kebiasaannya, sudah tentu kita segera bergegas ke Kedai Telekom mahu mengenal pasti apa sebabnya. Atau kita merasakan mungkin ada pihak lain yang curi line telefon rumah kita.

Namun dalam urusan ibadat dan agama, kita mengambil sikap ”pandang sebelah mata dan buat tak kisah". Apa yang saya ingin maksudkan di sini kita perlu bergerak membina kesedaran untuk kembali beramal mengikut zaman Rasulullah dan para sahabat baginda; atau dengan lain perkataan usaha membawa ”pembaharuan” (tajdid) dalam masyarakat kita perlu digiatkan.

Majlis-majlis pengajian ilmu perlu diubah pendekatannya. Minda masyarakat perlu ”dibedah” untuk dibuang penyakit fanatik dengan amalan tradisi hingga sukar menerima kebenaran. Kenapa saya mengatakan kita perlu kembali kepada beramal mengikut pendekatan para sahabat? Ini kerana generasi sahabat adalah adalah generasi yang paling baik. Diakui oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam: Lihat hadis berikut:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

Sebaik-baik (golongan) manusia ialah yang hidup di zamanku, kemudian orang–orang yang selepasnya, kemudian orang-orang yang selepasnya.[13]

Kelebihan dan keistimewaan para sahabat lebih menyerlah dari matan hadis berikut:

لا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ

Jangan kamu cerca (caci dan maki) sahabat-sahabatku! Maka kalaulah seseorang di antara kamu membelanjakan emas seumpama bukit Uhud (banyaknya)tidaklah sampai (nilainya)menyamai seperti secupak atau setengah cupak yang mereka (sahabat-sahabatku) belanjakan.[14]

Seandainya solat hajat secara berjemaah merupakan cara yang terbaik mengikut dakwaan sesetengah pihak, sudah tentu para sahabat yang terlebih dahulu melakukannya. Tetapi tidak ada satu pun riwayat di dalam mana-mana kitab Hadis atau Kitab Sirah, samada riwayat itu sahih, hasan atau dhaif menyebut ada sesiapa di kalangan sahabat pernah melakukannya. Tidak ada dan memang tidak ada. Sedangkan mereka juga manusia yang mempunyai hajat seperti kita. Ya! mereka hanya tunaikan solat hajat bersendirian di rumah atau mungkin di masjid tanpa berjemaah!

Ada setengah pihak menganggap hadis Uthman bin Hunaif bukan dalam bab solat hajat, tetapi dalam bab doa. Saya kehairanan mendengar jawapan sebegini kerana hadis tersebut secara jelas dimasukkan di bawah tajuk ”Galakan pada solat hajat dan doanya” seperti yang telah dinyatakan. Bahkan dalam matan hadis pun ada disebut ”Maka tunaikanlah solat (hajat) dua rakaat”.

Jadi adakah dikira wajar, matan hadis ini bukan dalam bab solat hajat, tapi hanya dalam doa sahaja? Saya memberikan soalan ini kepada pembaca maka terpulanglah kepada pembaca mencari sendiri jawapannya. Diharap pembaca dapat bersabar untuk terus membaca risalah ini hingga ke akhirnya. Sekarang kita lihat pula dalil seterusnya.

Dalil ketiga

Sebenarnya dalil ketiga ini, pada hakikatnya tiada kaitan dengan bab solat hajat berjemaah, tetapi terpaksa saya masukkan juga untuk perbahasan selanjutnya memandangkan ada pihak mendakwa ianya ada hubung kait dengan persoalan solat hajat berjemaah. Benar atau tidak dakwaan itu, sama-sama kita lihat nanti.

Pihak yang berkenaan mendakwa di dalam sesetengah kitab Fekah Mazhab Al-Imam As-Syafie Rahimahullah, ada di kalangan ulamak yang berpendapat hukum keharusan menunaikan solat hajat berjemaah dirujuk kepada umum satu riwayat hadis dalam Sahih Bukhari.

Hadis yang dimaksudkan ialah Hadis Itban bin Malik. Sebelum saya kemukakan hadis berkenaan, sukalah dimaklumkan bahawa setelah dibuat analisa dan kajian, rupa-rupanya di dalam Sahih Bukhari, hadis riwayat Itban Bin Malik diulang pada tujuh tempat yang berlainan, dengan tajuk yang berlainan tetapi matan hadis yang hampir sama. Oleh kerana hadisnya agak panjang, maka saya terus kepada terjemahannya dan manakala matan asal yang dibawakan di sini diambil bahagian akhir hadis:

Matan ini diambil dibawah tajuk ”Solat Sunat Berjemaah” dari hadis riwayat Anas dan Aisyah. Ceritanya begini:

Seorang rawi hadis yang bernama Mahmud mengatakan bahawa dia ada mendengar Itban bin Malik yang merupakan salah seorang sahabat yang telah ikut serta ke medan peperangan Badar, ada berkata:

Adalah aku menjadi imam bagi masyarakat kampungku (Bani Salim). Tapi oleh kerana antara rumahku dan tempat solat mereka (Bani Salim) ada wadi (lembah) yang mana apabila turun hujan aku tidak dapat pergi solat fardhu berjemaah bersama mereka. Maka sangat sukar bagiku untuk melepasi lembah berkenaan untuk menuju ke masjid.

Jadi aku pun pergi bertemu Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam dan memberitahunya: Pandangan mataku kurang baik (masalah penglihatan yang lemah), manakala kawasan berlembah antara rumahku dan orang-orang kampungku telah menghalangku untuk ke tempat solat kerana lembah berkenaan dipenuhi air selepas hujan turun. Sukar untukku melintasinya.

Jadi aku merasa suka kalau engkau Ya Rasulullah boleh datang ke rumahku untuk solat fardhu berjemaah di mana akan ku jadikan satu kawasan tertentu di dalam rumah sebagai tempat solat (musolla).

Maka berkatalah Rasulullah:

سَأَفْعَلُ فَغَدَا عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ بَعْدَ مَا اشْتَدَّ النَّهَارُ فَاسْتَأْذَنَ

رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَذِنْتُ لَهُ فَلَمْ يَجْلِسْ حَتَّى قَالَ

أَيْنَ تُحِبُّ أَنْ أُصَلِّيَ مِنْ بَيْتِكَ

فَأَشَرْتُ لَهُ إِلَى الْمَكَانِ الَّذِي أُحِبُّ أَنْ أُصَلِّيَ فِيهِ فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَبَّرَ وَصَفَفْنَا وَرَاءَهُ

فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ سَلَّمَ وَسَلَّمْنَا حِينَ سَلَّمَ

Saya akan lakukan (tunaikan permintaanmu), maka datanglah Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam kepada ku di waktu siang hari bersama Abu Bakar Radhiallahu 'anh ketika waktu hari sudah meninggi (sudah masuk solat zohor).

Rasulullah meminta izin untuk masuk (ke dalam rumah) maka aku pun izinkan, baginda tidak terus duduk sehingga dia berkata: Di manakah engkau suka aku bersolat di rumah mu ini?

Maka aku isyaratkan ke satu tempat yang aku suka bersolat di situ. Maka Rasulullah berdiri dan bertakbir, kami berdiri dalam saf di belakangnya. Dia bersolat dua rakaat kemudian memberi salam dan kami turut memberi salam ketika baginda memberi salam.”[15]

Kata Ibn Hajar (852 H) di dalam Fath Al-Bari:

Ibnu Wahab meriwayatkan dari Malik bahawasanya tidak mengapa mengimamkan seseorang itu untuk satu kumpulan dalam solat sunat. Adapun solat (sunat) yang ianya sudah masyhur (diketahui) dan dihimpunkan manusia untuk menunaikannya (contohnya solat sunat terawih) maka tidaklah mengapa. Ini berdasarkan kaedah (usul) sad az zarai' [16] kerana dikhuatiri orang yang tidak mengetahui akan menyangka bahawa solat sunat (yang ditunaikan berjemaah) itu adalah fardhu.”[17]

Apa yang dapat difaham dari hadis Itban bin Malik bahawa solat sunat yang ditunaikan secara berjemaah oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam adalah solat sunat rawatib, bukan solat sunat hajat. Jadi berhujah dengan hadis ini dalam bab solat sunat hajat berjemaah berada dalam kedudukan ”pendalilan yang bersifat sangkaan” atau dalam bahasa arab (ظنية الدلالة). Ianya tidak bersifat qati'e dan meyakinkan kerana dalil hadis ini tidak disokong dengan hadis-hadis lain untuk mengisbatkan hukum solat sunat hajat berjemaah.

Bahkan sudah diketahui dari mafhum hadis tadi bahawa kedatangan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam ke rumah Itban Bin Malik bukan kerana apa-apa hajat lain selain dari memenuhi permintaan untuk menunaikan solat fardhu berjemaah di rumah Itban itu. Untuk memperkuatkan alasan ini, mari kita lihat penjelasan Al-Imam An Nawawi di dalam kitab Al-Majmuk Syarah Muhazzab:

Fasal pada menyatakan masalah-masalah yang berkaitan bab solat sunat, (Perkara kelapan) Sesungguhnya telah (disebut) bahawa nawafil (solat-solat sunat) tidak disyariatkan berjemaah padanya kecuali solat dua hari raya (idul fitri dan idul adha), dua solat gerhana (bulan dan matahari), solat istisqa' (minta hujan) demikian juga solat tarawih dan witir sesudahnya, apabila kita mengatakan adalah lebih tepat bahawa ditunaikan berjemaah padanya (tarawih dan witir) ianya afdhal,

Dan adapun solat-solat sunat yang lain-lain seperti sunat-sunat rawatib yang (mengiringi) solat fardhu, sunat dhuha[18] dan solat-solat sunat mutlak maka tidak disyariatkan berjemaah iaitu tidak diharuskan, tetapi kalau seseorang itu tunaikan berjemaah adalah harus dan tidak dikatakan makruh.

Dan Al-Imam As-Syafie (202H) telah menaskan (mewartakan) di dalam dua buah kitab Mukhtasar Al-Buwaiti dan Ar-Rabi' bahawasanya tak mengapa berjemaah dalam solat sunat dan dalil keharusannya berjemaah ialah hadis –hadis yang banyak di dalam kitab sahih, di antaranya Hadis Itban Bin Malik Radhiallahu 'anh. [19]

Seandainya diperhatikan betul-betul teks (nas) yang diberikan oleh Al-Imam As-Syafie Rahimahullah sebagaimana yang dinukilkan semula Al-Imam An-Nawawi di dalam kitab Al-Majmuk: tidak disebut di dalamnya solat sunat hajat. Yang disebut hanya solat sunat rawatib, solat sunat dhuha dan solat sunat mutlak". Perhatikan kata-kata Al-Imam As-Syafie ”tetapi... kalau ditunaikan solat sunat berjemaah adalah harus.."

Ungkapan ”tetapi.... kalau” membawa maksud keharusan dan kebenaran adalah berada pada tahap bawah (bukan menjadi keutamaan dalam pilihan) kerana asalnya ia ditunaikan bersendirian. Sekali gus ia membawa maksud ”tidak perlu ditunaikan berpanjangan (sokmo-sokmo) dengan cara berjemaah” kerana dikhuatiri akan dianggap ianya wajib pada pandangan orang awam. Saya akan jelaskan kemudian berkenaan contoh-contoh lain kenapa amalan–amalan sunat yang bukan dalam bentuk lazim, tidak boleh sentiasa ditunaikan berjemaah.

Jadi berhujah dengan hadis Itban bin Malik dalam bab solat hajat bejemaah sudah tersasar dari apa yang dimaksudkan oleh Al-Imam As-Syafie. Untuk memperkuatkan hujah saya ini, kata lihat penjelsan lebih lanjut dari Al-Imam An-Nawawi sendiri di dalam kitab beliau yang lain iaitu kitab Raudhah At-Tolibin:

Di antara solat sunat yang tidak disunatkan berjemaah ialah solat sunat dhuha, sekurang-kurangnya dua rakaat….. di antaranya juga sunat tahiyyatul masjid dua rakaat….di antaranya juga dua rakaat ihram dan dua rakaat tawaf apabila kita tidak mewajibkannya….. di antaranya juga dua rakaat sesudah berwudhuk diniatkan solat sunat wudhuk…. Di antaranya juga sunat sebelum Jumaat empat rakaat[20] dan sesudahnya empat rakaat ….. di antaranya juga dua rakaat sunat istikharah…. Di antaranya juga dua rakaat sunat hajat. Wallahu 'alam. [21]

Sila perhatikan betul-betul, kata-kata Imam Nawawi. Apa yang disebut di bahagian akhir, jelas menunjukkan bahawa solat sunat Hajat bukan dari kategori solat yang ditunaikan berjemaah. Sekiranya Hadis Itban bin Malik boleh difahami sebagai adanya hukum harus solat hajat berjemaah sudah tentu Al-Imam An-Nawawi tidak memasukkan ke dalam bahagian ”solat-solat sunat yang tidak disunatkan berjemaah". Sekiranya anda tidak yakin dan merasa ragu-ragu dengan apa yang saya bentangkan di sini, maka anda disarankan membuka Kitab Raudhah At-Tolibin.

Benarkah Solat Sunat Hajat Sebahagian Dari Masalah Khilafiyyah?

Pertanyaan ini sukar untuk dijawab oleh sesetengah pihak yang mendakwa begitu. Hakikatnya dakwaan ini tidak bersandarkan kepada bukti yang jelas. Semuanya berhujah dengan hujah yang datang melalui pendekatan ”dengar cakap” atau dalam bahasa Kelantan ”dengar oghe lain kecek”.

Secara ilmiyyah yang menepati disiplin ilmu, memang tidak ada dalam mana-mana kitab Fekah atau kitab-kitab Hadis yang menyebut secara jelas ada pendapat lain yang mengharuskan berjemaah dalam solat hajat. Apa berlaku di tempat kita hanyalah pandangan peribadi orang-orang tertentu iaitu berdasarkan pandangan yang dibina atas kefahaman yang kurang tepat. Sebagaimana telah disebut tentang tujuan asal Itban Bin Malik menjemput Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam ke rumah beliau ialah untuk menunaikan solat fardhu.

Realiti Masa Kini Di Negara-Negara Islam Timur Tengah.

Selama beberapa tahun saya berada di kota Madinah, amalan solat hajat tidak pernah berlaku di masjid di Madinah, begitu juga di Masjidil Haram Mekah. Saya pernah bertanya kepada seorang rakan yang belajar di Universiti Al-Azhar Mesir dan berada di sana lebih 6 tahun:

Adakah anta pernah tengok orang-orang Arab Mesir buat solat hajat berjemaah di masjid atau pun di rumah mereka kerana tujuan tertentu, selama 6 tahun anta berada di sana?

Maka jawab rakan saya itu: ”Eh Eh ya tak ya jugak, tak adelah”.

Saya tanya lagi: ”Seandainya kita mendakwa, kita buat solat hajat berjemaah kerana kita bermazhab Syafie, Bukankah di Mesir, umat Islam di sana ramai bermazhab Syafie, kitab Mazhab Imam Syafie yang mana satu mereka pakai pulak hingga tak pernah ada sekali pun mereka buat solat hajat berjemaah? Dan kitab apa pula kita pakai hingga solat hajat berjemaah hampir setiap bulan berlaku dalam masyarakat kita terutama akhir tahun apabila budak-budak sekolah dah dekat musim peperiksaan?

Rakan saya seakan tergamam dan hanya menjawab: Ana pun tak tahu jugak”.

Saya ingin mengemukakan persoalan kepada para pembaca, selama berpuluh-puluh tahun rakyat Palestin berperang dengan Israel (hidup dalam kancah peperangan), pernahkah kita mendengar satu sahaja laporan berita sama ada melalui akhbar atau televisyen, berbunyi bahawa ”satu majlis solat hajat beramai-ramai akan diadakan di Masjidil Aqsa, anjuran kerajaan Palestin”, memohon agar rakyat Palestin dipelihara Allah dari kejahatan bangsa jahat Israel? Pernahkah kita mendengar berita sebegini?.

Atau pernahkah kita mendengar berita bahawa rakyat Iraq berkumpul beramai-ramai dengan jumlah mungkin mencecah 10 ribu orang, mereka berhimpun di kawasan tanah lapang untuk menunaikan solat hajat berjemaah, memohon kepada Allah agar suasana huru hara di negara mereka akan pulih secepat mungkin? Memohon agar tentera-tentera Amerika segera berundur?

Jawapannya: Tiada sebarang laporan berita tentang adanya upacara solat hajat berjemaah dari dua buah negara yang dilanda peperangan itu. Adakah mereka tak pernah buat solat hajat? Jawapannya: Mungkin ada tetapi bukan secara berjemaah. Atau mereka mungkin memadai dengan berdoa selepas solat samada doa bersendirian atau doa beramai-ramai.

Mengikut sunnah Nabi, apabila berhadapan dengan kesusahan yang besar atau disebut malapetaka, cara yang betul bukan solat hajat berjemaah. Cara yang sebenarnya ialah membaca qunut nazilah dalam solat lima waktu. Al-Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah (751H) menyebut dalam kitab Zaad Al-Maad:

Imam Ahmad bin Hanbal (241H) menyebut dari Ibn Abbas (68H) katanya: ”Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam berqunut selama sebulan berturut-turut (setiap hari) dalam solat zohor, asar, maghrib, isyak dan subuh di akhir setiap solat apabila membaca سمع الله لمن حمده dari rakaat terakhir, mendoakan kebinasaan ke atas satu puak dari Bani Salim iaitu ke atas Ra'l, Zakwan. Dan Usyah Diaminkan oleh makmum di belakangnya… Riawayat Abu Daud [22].

Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq Radhiallahu 'anh juga membaca qunut (nazilah) di zaman pemerintahan beliau ketika berhadapan dengan masalah besar penentangan dari Musailamah Al-Kazzab yang mengaku sebagai nabi[23]. Tiada riwayat yang menyebut bahawa Abu Bakar As- Siddiq berhadapan dengan masalah besar ini dengan cara menunaikan solat hajat berjemaah.

Begitu juga Sayyidina Ali bin Abi Talib membaca qunut (nazilah) ketika berhadapan dengan penentangan dari puak Muawiyah dan pemberontakan penduduk Syam[24].

Saya merasa lucu apabila ada pihak tertentu menganjurkan solat hajat berjemaah di masjid selepas solat fardhu Jumaat atas tujuan memohon dijauhkan dari bencana penyakit selesema burung (SARS) satu ketika dahulu. Yang sebetulnya membaca qunut nazilah atau berdoa sahaja. Inilah akibatnya apabila sunnah dipinggirkan dari kefahaman fiqh masyarakat, hingga antara ibadat dan adat sudah bercampur aduk dan bertukar takir.

Pandangan Mazhab Lain Tentang Solat Sunat Hajat.

Rasanya tidak lengkap kalau saya tidak sertakan di sini pandangan para ulamak dari mazhab lain. Ini kerana, mengambil kira pendapat-pendapat ulamak lain selain dari ulamak dalam mazhab Al-Imam As-Syafie, dianggap lebih bersikap adil terhadap ilmu dan alim ulamak itu sendiri.

Dalam Mazhab Hanafi, solat sunat hajat diletakkan di bawah kumpulan solat sunat yang tidak muakkad dan langsung tidak dinyatakan bahawa ianya dilakukan secara berjemaah.[25]

Manakala dalam Mazhab Maliki pula, solat sunat hajat dikategorikan di bawah sembahyang sunat ringan yang mempunyai sebab. Tidak dinyatakan hukum berjemaah dalam solat hajat, cuma ada disebut bahagian perkara makruh dalam melaksanakan sembahyang sunat (nawafil) menurut Mazhab Malik: iaitu sebanyak 4 perkara yang makruh di mana perkara makruh yang ke empat ialah:

Makruh berhimpun beramai-ramai untuk melakukan sembahyang sunat kecuali sunat Tarawih, kerana sembahyang sunat dilakukan secara bersendirian. Begitu juga makruh melakukan sembahyang sunat dalam jamaah yang kecil di suatu tempat yang masyhur di kalangan orang ramai.[26]

Di dalam Mazhab Syafie pula:

Sembahyang sunat yang sunat dilakukan secara berjemaah ada tujuh iaitu sembahyang dua hari raya (raya puasa dan raya haji), sembahyang gerhana matahari dan bulan, sembahyang minta hujan, dan sembahyang tarawih”… sembahyang sunat witir selepas tarawih adalah disunatkan berjemaah. [27]

Manakala untuk sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah terbahagi kepada dua:

  1. Sembahyang rawatib bersama fardhu.

  2. Sembahyang rawatib berasingan daripada fardhu.

Walaupun Dr. Wahbah Zuhaili didalam kitab Al Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu tidak memasukkan sembahyang sunat hajat dalam mana-mana dua bahagian, tetapi sudah diketahui bahawa solat sunat hajat bukan dari kategori solat sunat berjemaah sebagaimana keterangan beliau dalam ms. 60 bahawa sembahyang sunat berjemaah hanya tujuh solat sahaja.

Seterusnya dalam menerangkan Mazhab Hanbali dalam solat hajat ini, Dr. Wahbah Az-Zuhaili hanya menyebut:

Sembahyang hajat: Sembahyang ini adalah sunat mengikut hadis Abdullah bin Abi Aufa yang telah lalu yang terdapat dalam sunan Tirmizi yang mengatakan sebagai hadis gharib.[28]

Tiada diberi keterangan samada solat sunat hajat dalam bahagian solat sunat secara berjemaah atau bukan secara berjemaah.

Bagaimanakah Jalan Penyelesaian Bagi Permasalahan Ini?

Berikut saya perturunkan beberapa cadangan untuk kita semak kembali amalan solat sunat hajat berjemaah.

Pertama:

Kembali kepada sunnah sepenuhnya – tunaikan solat hajat bersendirian – sekali pun kita merasakan solat hajat berjemaah itu lebih baik, itu hanyalah sangkaan kita. Hakikatnya, mengikuti sunnah Nabi dalam beribadah itu lebih baik sebagaimana kata Ibn Mas'ud dalam athar yang sahih: Berpada-pada dengan sunnah lebih baik dari ijtihad dalam perkara bid'ah”.[29]

Firman Allah dalam Surah An-Nuur:

Maksudnya: Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cobaan atau ditimpa azab yang pedih. [ An-Nuur 24: 63 ].

Dr. Wahbah Az-Zuhaili di dalam tafsiran terhadap ayat ini berkata:

Iaitu maka hendaklah merasa takut sesiapa yang menyalahi syariat Ar-Rasul Sallallahu alaihi wasallam secara batin dan zahir, yang menghalang, keluar dari perintahnya dan ketaatan kepadanya, dan itulah jalannya, manhajnya, sunnahnya dan syariatnya.

Mereka ialah golongan munafiqun, bahawa terdedahlah mereka kepada mehnah (kesusahan), atau bala' atau ujian di dunia dan sifat kufur dan nifaq atau ditimpa azab yang pedih di akhirat.

Kata nama (dhamir) pada (أمره) kembali kepada perintah Allah dan perintah Rasul-Nya. Ayat secara zahirnya menunjukkan perintah ini bersifat wajib. Ayat juga bersifat umum bagi semua orang yang menyanggahi perintah Allah Taala dan perintah Rasul-Nya Sallallahu alaihi wasallam dan bukannya untuk golongan munafiq sahaja.[30]

Kedua:

Pilihan kedua dalam sunnah ialah berdoa selepas berwudhuk. Dibolehkan bertawassul dalam doa dengan nama-nama Allah dan Sifat-sifat-Nya, bertawassul dengan amalan soleh, bertawassul dengan keberkatan orang soleh yang masih hidup. Selain dari tiga cara ini, cara yang lain ada kekhilafan di kalangan ulamak. Pilihan pertama dan kedua dianggap mudah dan menepati ruh syariat yang bersifat taisir (memudahkan).

Sememangnya syariat Islam didatangkan dalam acuan yang bersifat memudahkan. Baginda Sallallahu alaihi wasallam telah membuat penegasan dalam sabdanya setiap kali diutuskan para sahabat ke mana-mana tempat atas urusan dakwah:

بَشِّرُوا وَلَا تُنَفِّرُوا وَيَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا

Gembirakanlah dan jangan biarkan mereka bertempiarn, permudahkan dan jangan persusahkan.[31]

Ketiga:

Boleh juga sekali-sekala ditunaikan berjemaah, tetapi dengan beberapa syarat yang perlu diberi perhatian:

  • Jangan beri'tikad semasa melakukannya bahawa perbuatan solat hajat secara berjemaah ini sabit dari amalan Rasulullah.

  • Jangan dilakukan ia secara tetap dan terlalu kerap. Tujuannya supaya orang awam tidak mengira bahawa solat hajat termasuk dalam kumpulan solat sunat yang disyariatkan berjemaah. Walaupun kita tidak pernah menyebut secara lisan solat sunat hajat itu wajib berjemaah, tetapi tindakan kita yang kerap menunaikannya secara berjemaah menggambarkan ”mind set” kita menetapkan ianya sebagai wajib.

  • Jangan disertakan ia dengan amalan-amalan bid'ah seumpama meletakkan bekas air di depan imam. Perbuatan sedemikian tidak dirujuk kepada sebarang dalil dan hanya merupakan andaian semata-mata. Jika mahu dilakukan juga, maka sekali sekala ”bekas air tawar”juga perlu diletakkan depan imam semasa solat fardhu atau ketika seseorang sedang baca Al-Quran. Ini kerana semua amal ibadat dikira ada berkatnya! Jangan khususkan keberkatan pada solat hajat sahaja.

  • Jangan tetapkan peraturan sendiri dalam soal menunaikan solat hajat berjemaah seperti menetapkan bahawa satu solat untuk satu hajat. Jika ada 5 hajat maka kena solat hajat lima kali. Fenomena begini sering berlaku di sekolah-sekolah agama yang mempunyai peperiksaan seperti PMRU, PMR, SMU, SPM dan STAM.

Oleh kerana ada lima peperiksaan, maka pihak sekolah menganjurkan lima kali solat hajat. Ketetapan sebegini adalah satu kesalahan kerana membuat ketetapan sendiri tanpa ada sandaran dalil dari nas syarak. Atau menetapkan bahawa pelajar-pelajar sekolah agama wajib solat hajat berjemaah di masjid sekolah (sebagai contoh sahaja) dengan kadar seminggu sekali atau sebulan sekali. Atau menetapkan selepas solat hajat perlu berzikir dengan membaca lafaz tahlil (sebagai contoh) sebanyak 100 kali. Kita boleh berzikir, tetapi dengan syarat tidak menetapkan berapa jumlahnya.

Saya sendiri secara peribadi walaupun tidak setuju dengan amalan solat hajat secara berjemaah, ada kalanya saya turut serta, kerana mengambil kira faktor lain. Itu pun saya hanya jadi makmum. Kalau diminta jadi imam, maaf saya terpaksa mengundurkan diri dan harap kita saling bertolak ansur dan faham memahami.

Akhir kata, harapan dari saya agar kita semua dikurniakan oleh Allah ilmu dan kefahaman dalam urusan agama-Nya (العلم والفهم في أمور الدين.) Insya Allah.

menutup aurat bagi wanita

Mengapa Wanita Wajib Berhijab?

Pertanyaan ini sangatlah penting namun jawabannya justru jauh lebih penting. Hijab atau jilbab merupakan satu hal yang telah diperintahkan oleh Sang Pembuat syariat, sebagai syariat yang yang memiliki konsekwensi jauh kedepan, menyangkut kebahagiaan dan kemaslahatan hidup di dunia dan akhirat. Berikut ulasan sebagian jawaban dari pertanyaan di atas:

1. Sebagai bentuk ketaatan kepada Allah dan RasulNya
Ketaatan merupakan sumber kebahagiaan dan kesuksesan besar didunia dan akherat.
Allah berfirman :


وَمَن يُطِعِ الله وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَاذَ فَوْذًَا عَظِيمًَا


Dan barang siapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapatkan kemenangan yang besar. ( QS Al Ahzab:71)

Rasulullah bersabda : Sungguh akan merasakan manisnya iman, seseorang yang telah rela Allah sebagai Rabb, Islam sebagai Agama, dan Muhammad sebagai Rasul utusan Allah. (HR Muslim).

2. Pamer aurat dan keindahan tubuh merupakan bentuk maksiat yang mendatangkan murka Allah dan Rasul-Nya.
Allah berfirman:


وَمَن يَعْصِ الله وَرَسُولَهُ فَقًد ضَلَّ ضَلاَ لاًمُّبِينًا


Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan RasulNya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata. (QS Al Ahzab: 36).

Nabi bersabda: Setiap umatku (yang bersalah) akan dimaafkan, kecuali orang yang secara terang-terangan (berbuat maksiat). (Muttafaqun alaih).

Sementara wanita yang pamer aurat dan keindahan tubuh sama artinya dia telah berani menampakkan kemaksiatan secara terang-terangan.

3. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan hijab untuk meredam berbagai macam fitnah.
Jika berbagai macam fitnah redup dan lenyap, maka masyarakat yang dihuni oleh kaum wanita kaum berhijab akan lebih aman dan selamat dari fitnah. Sebaliknya, masyarakat yang dihuni oleh wanita yang gemar bertabarruj (berdandan seronok), pamer aurat dan keindahan tubuh, sangatlah rentan terhadap ancaman berbagai fitnah dan pelecehan seksual serta gejolak syahwat yang membawa malapetaka dan kehancuran yang sangat besar. Jasad yang berbugil jelas akan memancing pandangan berbisa.

4. Tidak berhijab dan pamer perhiasan akan mengundang fitnah bagi laki-laki.

Seorang wanita apabila memamerkan perhiasan atau bentuk tubuhnya dihadapan laki-laki non mahram, jelas akan menguindang perhatian kaum laki-laki hidung belang dan serigala berbulu domba. Jika ada kesempatan mereka akan memangsa dengan ganas laksana singa sedang kelaparan.
Seorang Penyair berkata"Berawal dari pandangan lalu senyuman kemudian salam disusul pembicaraan lalu berakhir dengan janji dan pertemuan".

5. Seorang muslimah yang menjaga hijab, secara tidak langsung ia berkata kepada semua kaum laki-laki, "Tundukkanlah pandanganmu, aku bukan milikmu dan kamu juga bukan milikku. Aku hanya milik orang yang dihalalkan Allah bagiku.Aku orang merdeka yang tidak terkait dengan siapapun karena aku lebih tinggi dan jauh lebih terhormat disbanding mereka."

Adapun wanita yang bertabarruj atau pamer aurat dan menampakkan keindahan tubuh dihadapan laki-laki secara tidak langsung ia berkata"Silakan anda menikmati tubuhku dan kecantikan wajahku. Adakah orang yang mau mendekatiku? Adakah orang yang mau memandangku? Ataukah ada orang yang berseloroh, aduhai betapa cantiknya dia?". Mereka berebut menikmati keindahan tubuhnya dan kecantikan wajahnya sehingga mereka pun terfitnah.

Firman Allah QS Al-Ahzab ayat 59; "Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidajk diganggu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih".

Wanita tak berhijab laksana pengemis yang merengek-rengek untuk dikasihani. Tanpa sadar mereka rela menjadi mangsa kaum laki-laki bejat dan rusak. Mereka menjadi wanita terhina, terbuang, murahan dan kehilangan harga diri dan kesucian. Serta mereka telah menjerumuskan dirinya dalam kehancuran dan malapetaka hidup.

Syarat-syarat Hijab
Hijab sebagai bagian dari syariat islam, memiliki batasan-batasan jelas. Para Ulama telah memaparkan criteria berhijab, maka setiap mukminah hendaknya memperhatikan batasan syariat berkaitan dengan berhijab ini. Menjadikan Kitabullah dan Sunnah Rasul sebagai dasar rujukan dalam beramal, serta tidak berpegang pada pendapat yang menyimpang dari para pengekor hawa nafsu. Dengan demikian tujuan disyariatkannya hijab dapat terwujud, bi'aunillah. Diantaranya syarat-syarat berhijab:

a. Hendaknya hijab menutup seluruh tubuh dan tidak menampakkan anggota tubuh sedikitpun selain yang dikecualikan, sebagaimana Firman Allah"Dan katakanlah kepada wanita-wanita mukminat, hendaknya mereka menundukkan pandangan mereka dan janganlah menampakkan perhiasan mereka kecuali yang biasa nampak dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung kedada mereka". (QS An Nuur:31)

Firman Allah lainnya : Wahai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya keseluruh tubuh mereka,"Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (QS Al-Ahzab: 59)

b. Hendaknya hijab tidak menarik perhatian pandangan laki-laki bukan mahram. Agar hijab tidak memancing pandangan kaum laki-laki maka harus memenuhi persyaratan sebagai berikut:
- Hijab terbuat dari kain yang tebal sehingga tidak menampakkan warna kulit tubuh.
- Hijab longgar dan tidak menampakkan bentuk anggota tubuh.
- Hijab bukan dijadikan perhiasan bahkan sebaikknya memiliki satu warna bukan berbagai warna dan motif.
- Hijab bukan merupakan pakaian kebanggaan dan kesombongan. Berdasarkan sabda Rasulallah berikut,"Barangsiapa yang mengenakan pakaian kesombongan di dunia maka Allah akan mengenakan pakaian kehinaannanti pada hari kiamat kemudian ia dibakar dalam Neraka". (HR Abu Daud dan Ibnu Majah, dan Hadits ini hasan).
- Hijab tidak diberi parfum atau wewangian. Dasarnya adalah hadits dari Abu Musa Al-Asy'Ary, dia berkata bahwa Rasulallah bersabda"Siapapun wanita yang mengenakan wewangian lalu melewati segolongan orang agar mereka mencium baunya, maka ia adalah wanita Pezina". (HR Abu Daud, Nasa'I dan Tirmizi dan hadits ini hasan).

c. Hendaknya hijab yang dikenakan tidak menyerupai pakaian laki-laki atau pakaian wanita kafir. Sabda Rasulallah: "Barangsiapa yang menyerupai kaum maka dia termasuk bagian dari mereka". (HR Ahmad dan Abu Daud). Rasulallah mengutuk laki-laki yang mengenakan pakaian wanita serta mengutuk wanita yang berpakaian seperti laki-laki.(HR Abu Daud Nasa'I dan Ibnu Majah dan hadits ini shahih).

Catatan:
Syeikh Albani dalam kitabnya Jilbab Al Ma'rah Al Muslimah Fil Kitab Was Sunnah mengatakan, menutup wajah adalah sunnah hukumnya (tidak wajib) akan tetapi yang memakainya mendapat keutamaan. Wallahu a'lam.

Semoga dengan penjelasan ini saudari-saudariku seiman yang sudah berhijab agar lebih memantapkan hijabnya hanya untuk mencari wajah Allah. Bagi mereka yang belum berhijab agar bertaubat dan segera memulainya sehingga mendapat ampunan dari Allah Azza wa Jalla. Wallahu Waliyyut Taufiq.

Reference: Ummu Ahmad Rifqi